GEORGE TOWN – Keluarga kepada Rohani Babu atau lebih dikenali sebagai mak andak, 63, menawarkan ganjaran RM5,000 kepada sesiapa yang menjumpai warga emas itu yang hilang sejak hampir empat bulan lalu.
Kali terakhir mak andak dilihat berada di rumahnya di Jalan Paya Terubong, Air Itam di sini, pada 9 Jun lalu.
Menurut sepupunya, Syamsiah Ibrahim, 39, dia tidak pernah berputus asa untuk mencari mak andak kerana bimbang dengan keselamatan wanita berkenaan memandangkan mak andak menghidap penyakit sawan dan daya ingatan kurang.
“Ganjaran RM5,000 yang ditawarkan ini adalah salah satu usaha kami untuk mencari mak andak.
“Kami bimbang dengan keadaannya yang hilang tanpa khabar berita, sebelum ini ada juga orang maklumkan kepada kami mengenai mak andak namun maklumat yang kami terima tidak tepat,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, pada awal Julai lalu, media melaporkan mengenai kehilangan mak andak selepas wanita warga emas itu hilang dari rumahnya dipercayai pada awal pagi.
Susulan laporan kehilangan wanita berkenaan, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, usaha menjejaki Rohani telah dilakukan pihak polis sejurus menerima laporan daripada ahli keluarganya.
Mengulas lanjut, Syamsiah berkata, dia dan ahli keluarga yang lain juga tidak pernah berhenti mencari suadaranya itu sehingga ke hari ini.
“Saya dan abang, Shamsuhaimi Ibrahim telah mengedarkan beribu-ribu risalah mengenai kehilangan mak andak di merata-rata tempat antaranya di medan selera, pasar awam dan taman-taman perumahan sejak dari awal kehilanganya.
“Saya juga buat siaran langsung di platform media sosial seperti Tiktok untuk sebarkan kepada orang ramai mengenai mak andak dan berharap saya akan dapat maklumat mengenainya,” katanya.
Selain itu, katanya, dia turut mencetak dan menampal poster kehilangan Rohani di kawasan orang ramai dan kini sedang menunggu kelulusan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk meletakkan bunting maklumat kehilangannya di kawasan yang strategik.
“Inilah usaha-usaha yang kami lakukan untuk mak andak, memang kami bersedih dan setiap hari hidup dalam kerisauan menanti berita tentangnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE