fbpx

Perbicaraan kes Hafizul Hawari 8, 9 Disember depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis membawa Hafizul (tengah) selepas prosiding sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. Foto KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Perbicaraan kes seorang pengurus syarikat agensi pelancongan, Hafizul Hawari, 38, yang didakwa atas tujuh pertuduhan termasuk kes melibatkan senjata api ditetapkan pada 8 dan 9 Disember depan.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Zulkifli Abllah dalam prosiding sebutan semula kes tersebut di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mahkamah turut memohon pihak peguam bela menghantar representasi sebelum perbicaraan kes bermula.

Prosiding kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Mohd. Faris Syazwan Zainuzzaman.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri memaklumkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang arahan bagi memindahkan kes tersebut ke Selangor.

Nik Mohd. Faris Syazwan memohon satu tarikh untuk representasi kes tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 dan 9 Disember untuk perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Hafizul didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tujuh pertuduhan termasuk kes melibatkan senjata api pada 24 April lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki senjata api jenis pistol bertulis Glock 19 Austria, Made In Turkey yang menyalahi undang-undang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum sebanyak enam kali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki 33 butir amunisi atau peluru jenis PMC 380 AUTO tanpa lesen sah atas kesalahan dan dituduh mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) yang memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Hafizul didakwa memiliki satu bungkusan plastik mengandungi mercun bola tanpa permit yang merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Mengikut pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga keping MyKad milik individu lain berusia 29, 34 dan 35 tahun yang boleh di hukum di bawah Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Bagi pertuduhan ketujuh, Hafizul didakwa memandu sebuah kereta jenis Honda Civic dengan mempamerkan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesemua kesalahan itu dilakukan oleh Hafizul di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di pekarangan Hospital Pakar KPJ Perdana di sini, kira-kira pukul 2 petang pada 15 April lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI