AMSTERDAM – Aksi mengecewakan ditampilkan pemain pertahanan Belanda, Matthijs de Ligt pada aksi Liga Negara-Negara Eropah menentang Jerman di Johan Cruyff Arena awal pagi semalam yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri 2-2.
Bintang baharu Manchester United itu melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan Jerman menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Deniz Undav sekali gus memadam gol awal Belanda hasil jaringan Tijani Reijnders.
Dua kesilapan dilakukan De Ligt dalam dua perlawanan berturut-turut memaksa ketua jurulatih, Ronald Koeman mengeluarkannya ketika waktu rehat separuh masa pertama sebagai langkah melindunginya.
“Kalau boleh, sudah tentu saya mahu mengekalkan De Ligt di atas padang sehingga tamat perlawanan tetapi apa yang kita lihat sekarang, setiap kesilapan dilakukan menjadi punca pasukan dihukum.
“Saya berikan peluang kepadanya sekali lagi hari ini (semalam) tetapi ia (kesilapan) tetap berlaku. Saya tidak ada pilihan selain mengeluarkannya dan ia adalah demi kebaikan dirinya,” kata Koeman.
Sementara itu, satu lagi gol Belanda dijaringkan Denzel Dumfries, manakala jaringan kedua skuad Die Mannschaft pula hadir menerusi Joshua Kimmich.
Kapten The Oranje, Virgil van Dijk mengambil langkah untuk tidak bersimpati dengan kesilapan dilakukan bekas pemain pertahanan Bayern Munich itu kerana ia menjadi punca mereka gagal mendapatkan tiga mata berharga.
“Ini adalah bola sepak, anda perlu belajar daripada kesilapan-kesilapan seperti ini. Mungkin ia hanya kesilapan kecil, namun dalam pentas tertinggi seperti ini, anda pasti akan dihukum,” ujarnya. – AGENSI