KUALA LUMPUR – Didakwa sombong dengan peminat ketika diajak bergambar, pelakon Meerqeen menempelak tuduhan tersebut sekali gus menegaskan dirinya tidak pernah berbuat demikian.
Percaya peminat lebih mengenalinya, Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam, 23, berkata, dia sentiasa memenuhi permintaan peminat untuk bergambar meskipun pada waktu salah seperti ketika sedang menjamu selera.
“Saya rasa peminat dan orang terdekat tahu saya macam mana, saya bukan jenis yang akan menolak jika ada orang datang untuk bergambar walaupun saya sedang makan.
“Dalam keadaan itu pun (kacau makan) saya sanggup berhenti dan tangkap gambar. Bukan semua aktor macam itu dekat Malaysia ini, hanya saya seperti itu.
“Mereka yang nampak saya, datang dekati saya dan cakap mahu bergambar, saya okey sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online, baru-baru ini.
Tambah pelakon drama Uncle Boss Mama itu lagi, dia okey sahaja malah mengakui tidak akan pernah menolak ajakan peminat.
Pun begitu, dia tidak akan mempelawa diri mengajak orang untuk bergambar kerana menganggap perbuatan itu memalukan.
“Saya faham ramai pandang tapi takkan saya yang kena tegur dan ajak mereka bergambar, mustahil saya yang tanya mereka mahu bergambar dengan saya atau tidak.
“Bagi saya itu perkara yang memalukan jadi saya ambil keputusan untuk buat-buat tidak nampak sahajalah.
“Kalau orang datang mahu bergambar, saya tidak akan menolak langsung,” ujarnya.
Sebelum ini, terdapat segelintir individu yang mendakwa bekas peserta program realiti, Hero Remaja itu semakin sombong sekiranya diajak berbual dan bergambar ketika berjumpa.
Malah ada juga yang berpendapat, kelakuannya berubah dan sudah tidak rendah diri seperti awal kemunculannya dahulu. – KOSMO! ONLINE