fbpx

Mardi, IDR meterai MoU perkasa sekuriti makanan di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mardi dan IDR meterai MoU bersempena MAHA 2024, di MAEPS, Serdang, hari ini.

PETALING JAYA – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Institut Darul Ridzuan (IDR) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024, hari ini.

Majlis pemeteraian tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani di Pavilion Rumah Negeri Perak, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Selain itu, majlis turut disempurnakan Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan, Dr. Maisarah Ahmad, disaksikan oleh Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, dan Industri Makanan Negeri Perak, Datuk Mohd. Zolkaply Harun.

Mardi dalam kenyataannya berkata, memorandum ini bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam bidang pembangunan usahawan tani dan perkongsian analitik data.

Katanya, perjanjian ini menandakan langkah penting dalam memajukan sektor pertanian melalui penggunaan teknologi moden serta pembangunan kapasiti usahawan tani di Perak.

“Kerjasama ini dijangka akan membuka jalan pelaksanaan penyelidikan bersama, pemindahan teknologi, serta menyediakan khidmat nasihat teknikal dengan teknologi pertanian yang cekap dan berdaya saing.

“IDR selaku badan pemikir negeri Perak akan memainkan peranan penting dalam menyelaraskan strategi pembangunan sosio-ekonomi negeri melalui inisiatif berimpak tinggi,” katanya.

Tambah kenyataan tersebut, Mardi pula akan menyumbang kepakaran teknikalnya dalam memacu kemajuan industri pertanian.

“Memorandum ini juga akan membina asas untuk kolaborasi lebih erat dalam bidang penyelidikan dan pengembangan sektor pertanian.

“Dengan termeterainya MoU ini, ia menunjukkan komitmen kedua-dua institusi untuk merealisasikan pembangunan ekonomi yang dinamik, inklusif dan mampan di negeri Perak melalui sektor pertanian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI