ALOR SETAR – Keluarga kepada Syarafi Abu, 34, yang terlepas hukuman mati atas kesalahan membunuh Nur Syuhada Johari, 19, menghela nafas lega dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Bapanya, Abu Husin, 64, berkata, mereka sekeluarga menanti-nantikan saat itu setelah menerima berita berkaitan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman mati Mandatori 2023 pada tahun lepas.
“Terima kasih kerana bebaskan dia daripada tali gantung . Perkara sudah berlaku, kami nak minta maaf. Kita minta maaf apa yang berlaku ini tetapi dia (keluarga Nur Syuhada) tidak mahu nak terima.
“Insya-Allah masa depan depan nanti depa sejuk sikit kan? Kena minta maaf jugalah apa pun,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Setar setelah hadir bersama isteri, Robiah Alwi, 62, pada Persidangan Mahkamah Persekutuan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Mahkamah Persekutuan menukar hukuman mati mandatori itu dengan penjara 38 tahun dan 14 sebatan setelah membenarkan permohonan Syarafi.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika bersidang mengikut Seksyen 2(4) dan 3(1) Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.
Syarafi didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Taiping pada 2017 atas pertuduhan membunuh Nur Syuhada semasa di dalam sebuah kereta ketika berada di Kilometer 228.2, Lebuh Raya Utara-Selatan di Bukit Gantang, Perak pada 2 Februari 2015.
Pada 12 Mei 2017, Mahkamah Tinggi Taiping menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas lelaki berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut kata Abu, anaknya itu yang sudah menjalani hukuman penjara di Penjara Pokok Sena selama sembilan tahun itu juga menyatakan hasrat untuk bertemu keluarga Nur Syuhada bagi memohon maaf di atas kesalahannya itu.
“Dia pun sudah insaf dan kesal atas perbuatannya. Dia pun kata akan cuba minta maaf juga tapi rasanya susah sikitlah. Dia rasa buat masa ini mereka pun dok ini lagi (marah) nak buat macam mana,” katanya.
Menurut Robiah pula, keluarganya reda dengan keputusan mahkamah itu termasuk menetapkan 14 sebatan ke atas Syarafi.
“Runtun hati tidak tahu anak saya boleh tahan ke tidak,” katanya. – KOSMO! ONLINE