SIAPA yang mahu melepaskan peluang mendapatkan baju milik artis, apatah lagi berjenama dengan harga asal mencecah ratusan dan ribuan ringgit.
Atas sebab itulah pengumuman pelakon Luna Maya yang ingin menjual pakaian, perhiasan diri sehingga kasut dan beg tangan terpakai miliknya membikin penasaran dalam kalangan peminat.
Menerusi hebahan dalam akaun TikToknya, kesemua barangan peribadi yang dijual itu hanya ditawarkan pada harga serendah RM15.
Lebih menarik, bintang Suzzanna: Bernapas Dalam Kubur itu turut menggayakan dan mempamerkan koleksi barangan ‘preloved’ miliknya untuk menarik perhatian.
Kata Luna, sengaja barangan terpakai kesayangannya dijual, bukan diberikan secara percuma kepada peminat. Dia bukan untuk mencari untung, sebaliknya mengenakan bayaran agar barangan yang dijual kelak akan lebih dihargai pemilik baharu.