fbpx

Keluarga ‘Abang Bas’ lancar tabung, bayar ikat jamin RM30,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keluarga lancar tabung derma untuk bantu bayar ikat jamin Abang Bas.

PETALING JAYA – Keluarga pemandu bas dikenali sebagai ‘Abang Bas’ melancarkan kutipan derma bagi mengumpul dana untuk membayar wang jaminan sebanyak RM30,000 seperti yang ditetapkan oleh mahkamah.

Tabung itu dibuka menggunakan akaun AmBank milik kakaknya, Zarinah Sari dan dimuat naik di laman Facebook wanita itu sebentar tadi.

“Assalamualaikum saudara Islam yang banyak memberi sokongan dan maklum balas positif pada ‘Abang Bas’ dan keluarga.

“Sekali lagi kami merendah diri membuka tabung seikhlas hati atas dasar perikemanusiaan dan keharmonian, dari mata dan sisi Allah yang tidak pernah tidur untuk diri ini mendapatkan keyakinan,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook.

Zarinah turut memuat naik kod QR bagi memudahkan orang ramai membuat sumbangan bagi membantu adik lelakinya itu.

Semalam, Mahkamah Sesyen Muar membenarkan ‘Abang Bas’ yang didakwa atas dua pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan diikat jamin sebanyak RM30,000.

Tertuduh yang berusia 24 tahun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu dan hakim menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Zarinah turut berharap agar adiknya diberikan kekuatan dalam menempuh ujian hidup ketika ini dan keadilan berpihak kepada keluarganya.

“Allah yang maha mendengar dan maha mengetahui, jika Allah berkehendakkan sesuatu itu terjadi maka terjadilah ia. Terima kasih warga media sosial yang banyak memberi nasihat, komen-komen positif, kata-kata semangat untuk membuka tabung ‘Abang Bas’ sebagai tiket saham akhirat mereka.

“Ya allah, engkau berikan kekuatan kepada Abang Bas semoga dia berjaya menghadapi segala ujian dariMu,” katanya.

Dalam pada itu, semakan Kosmo! di ruangan komen hantaran Zarinah mendapati, ramai yang sudah membuat transaksi bayaran ke akaun tersebut sebagai sumbangan ikhlas membantu ‘Abang Bas’.

“Semoga dipermudahkan segala urusan Abang Bas,” kata Fatin Amirah.

“Semoga dipermudahkan urusan Abang Bas. Tak boleh nak tengok Abnag Bas, jadi sedih. Ramai yang nak bantu Abang Bas,” ujar Nana Lyyyana. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI