KUALA LUMPUR – Pasukan Jordan mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk meraih kemenangan pertama kelayakan Piala Dunia 2026 dengan menewaskan Palestin 3-1 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.
Pada aksi tersebut, Palestin yang beraksi sebagai tuan rumah gagal mengekang asakan pasukan Jordan yang meraih gol seawal minit ke-5 hasil penyudah menarik Yazan Al Naimat.
Tersentak dengan gol tersebut, Palestin memperkemaskan jentera serangan dan berjaya mendapatkan jaringan penyamaan hasil tandukan Abou Ali pada minit ke-41.
Bersambung pada babak kedua, Jordan yang dikendalikan oleh Jamal Sellami sekali lagi bermula garang apabila hanya memerlukan lima minit untuk mendapatkan gol kedua menerusi ledakan Al Naimat.
Palestin berusaha untuk bangkit tetapi Jordan berjaya menjaringkan gol ketiga selepas pemain kelab Selangor FC, Noor Al Rawabdeh bijak menyudahkan peluang terhidang pada minit ke-72.
Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Palestin tewas buat kali pertama pada kempen kelayakan Kumpulan B selepas mencipta kejutan seri bertemu Korea Selatan minggu lalu. – KOSMO! ONLINE