JAGUH muay thai negara, Johan Ghazali Zulfikar yang melakukan kejutan menumbangkan lawan dari Mexico, Josue Cruz menerusi pukulan ‘KO” pada Sabtu lalu kini memasang cabaran lebih besar dalam kariernya.
Johan atau lebih kenali dengan panggilan Jojo telah menyenaraikan dua calon yang dia ingin berdepan dalam pertarungan seterusnya iaitu jaguh Bosnia Herzegovina, Denis Puric serta Freddie Haggerty.
Tegas Johan, Puric adalah lawan yang hebat dan yakin bahawa lawannya itu pasti tidak akan ‘lari’ dari cabaran di dalam gelanggang.
“Saya mencari cabaran sebenar, pertarungan yang sengit. Saya tidak kata pertarungan sebelum ini tidak mencabar, tapi sejujurnya, siapa yang mahu melihat pertarungan yang berakhir dengan keputusan tipis? Itu tidak menghiburkan.
“Saya tahu dia (Puric) pejuang yang hebat. Saya tahu dia kuat dan telah berada dalam arena ini lama. Ini akan menjadi pertarungan yang menarik. Denis Puric, saya datang cari anda,” tegas Johan.
Johan juga menyatakan kesediaannya untuk mencabar nama-nama besar lain sekiranya pertarungan dengan Puric tidak menjadi kenyataan.
“Freddie (Haggerty) telah menunjukkan minat dalam pertarungan ini dan turut membuat beberapa sindiran di media sosial. Ramai yang mahu melihat pertarungan ini berlaku. Saya sudah lihat komen peminat dan apa yang orang ramai mahu. Jadi, saya juga berminat dengan pertarungan ini,” tambahnya.