PETALING JAYA – Peribahasa ‘kasih sayang ibu sepanjang masa, kasih sayang anak sepanjang galah’ yang membawa maksud kasih sayang seorang ibu adalah dimiliki selamanya, sedangkan kasih sayang anak diberikan kepada orang tua ada batasan.
Sehubungan itu, Public Health Malaysia (PHM) menitipkan pesanan agar meluangkan masa untuk menjenguk ibu bapa atau pun ahli keluarga yang lain di kampung selagi mana mereka masih hidp.
“Jika anda masih ada orang tua di kampung, rancanglah untuk menjenguk mereka sekurang kurangnya sebulan sekali. (Jika berkemampuan).
“Jika anda ada empat beradik, tidak semestinya semua perlu balik serentak untuk pulang ke kampung. Rancang supaya setiap minggu ada adik beradik yang pulang ke kampung. Jika masih mampu, pulanglah ke rumah,” pesan PHM menerusi hantaran di Facebooknya.
Kata PHM, kebanyakan orang tua, mereka jarang untuk mengadu rasa sakit, penat kepada anak-anak kerana tidak mahu masalah itu akan membebankan cahaya mata tersayang.
“Orang tua tidak akan beritahu anda mereka tidak sihat kerana enggan menyusahkan anak anak, anak anak perlu pulang untuk menjenguk ibu bapa dan melihat sendiri keadaan mereka,” kata PHM.
Dalam pada itu, PHM turut mengingatkan orang ramai betapa indahnya kehidupan seseorang anak setiap kali berada di sisi ibu bapa.
“Pernahkah kita perasan betapa lena dan nyenyak tidur kita di rumah ibu bapa, terutama bila mereka ada di sisi? Kerana itulah satu-satunya tempat di mana kita boleh berehat tanpa risau tentang keselamatan diri.
“Bersyukurlah kepada Tuhan atas nikmat ibu bapa kita, serta kehangatan dan rasa selamat yang kita rasakan dengan kehadiran mereka,” kongsi PHM. – KOSMI! ONLINE