fbpx

Saya, isteri akan tuntut bela kematian anak kami – Bapa Al Fateh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan Mohd. Fikry dan isteri bersama Allahyarham Muhammad Al Fateh yang dikongsikan di Facebooknya.

PETALING JAYA – Ibu bapa kepada bayi lelaki berusia lapan bulan yang maut dalam jagaan pengasuh di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) pada 6 September lalu akan menuntut bela atas kematian anak mereka.

Menerusi hantaran yang dimuat naik bapa bayi itu, Mohd. Fikry Amri Abd Halim, 39, di Facebooknya semalam, beliau menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang bukan sahaja terhadap pengasuh terlibat, malah pengusaha taska juga perlu bertanggungjawab ke atas kecuaian tersebut.

“Saya dan isteri akan menuntut bela di atas kematian anak syurga kami. Bukan hanya pengasuh tetapi pengusaha taska juga perlu bertanggungjawab dan tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Mohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Polis Diraja Malaysia supaya memandang serius perkara ini agar hukuman maksimum dikenakan ke atas pengasuh dan pengusaha taska tersebut,” tegasnya.

Menurut Mohd. Fikry, beliau dan isteri, Sabrina Hakiem Zaini, 39, akan memastikan kedua-dua pihak terbabit dikenakan hukuman semaksimum mungkin agar ia menjadi pengajaran kepada yang lain.

“Saya akan ambil tindakan undang-undang yang maksimum supaya menjadi pengajaran dan iktibar kepada pengasuh dan pengusaha taska yang lain agar mematuhi SOP (prosedur operasi standard) dan peraturan ditetapkan.

“Saya tidak mahu ada lagi anak-anak taska yang menjadi mangsa korban seterusnya. Pihak berwajib sila jalankan amanah dan tanggungjawab,” katanya.

Mohd. Fikry yang kini berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur juga sempat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah mendoakan buat Allahyarham selain memberi kata-kata sokongan buatnya dan isteri.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyokong dan prihatin, mohon doakan saya dan isteri terus kuat bagi meneruskan kehidupan serta perjuangan menuntut bela ini. Sama-sama kita bantu satu sama lain,” ujarnya.

Terdahulu, seorang pengasuh wanita direman tujuh hari bermula 7 September selepas disyaki menyebabkan kematian Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri di sebuah taska di Taman Kelemak, Alor Gajah pada 6 September lalu.

Perintah reman sehingga Jumaat itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Nor Syaliati Mohd. Sobri terhadap suspek berusia 34 tahun bagi membolehkan siasatan dilakukan pihak polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI