PETALING JAYA – Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB) menafikan tuduhan mengaitkan syarikat itu dengan tuduhan mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.
GISB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.
Menurutnya, isu tersebut merupakan satu prasangka, fitnah yang berniat jahat untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap GISB Holdings Sdn. Bhd.
“Pendirian kami amat jelas untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan mendukung aspirasi kerajaan dalam membangunkan negara.
“Kami bersedia untuk memberikan kerjasama dengan pihak berwajib bagi menyelesaikan isu ini,” katanya hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebanyak 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan menerusi gerakan Op Global hari ini.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap GISB yang disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia susulan empat laporan yang diterima pihaknya di sekitar Selangor. – KOSMO! ONLINE