fbpx

Ganja untuk 131,370 penagih dirampas, seorang ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ravinder (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua siri serbuan di Cheras dan Segambut, 5 September lalu.

KUALA LUMPUR – Polis melumpuhkan sindiket pengedaran ganja dengan penahanan seorang individu bersama rampasan bernilai RM203,723 dalam dua siri serbuan, di sini, 5 September lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh berkata, keseluruhan rampasan dadah seberat 65.6kg (kilogram) tersebut mampu dibekalkan kepada 131,370 penagih.

Katanya, suspek merupakan seorang lelaki berusia 30-an, dipercayai membekalkan dadah tersebut kepada pelanggan tetap di Lembah Klang sejak awal tahun ini.

“Satu serbuan dilakukan di sebuah kondominium sekitar Cheras pada pukul 9 malam dan menangkap suspek serta merampas 62.56kg (kilogram) ganja dalam bentuk ketulan.

“Pemeriksaan mendapati suspek menganggur dan tiada rekod jenayah sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Cheras, di sini, hari ini.

Beliau berkata, satu lagi serbuan dilakukan membawa kepada rampasan ganja seberat 3.12kg di sebuah rumah di Segambut, di sini.

“Kami juga menemui alat penimbang dan mesin penyedut vakum di rumah tersebut.

“Beberapa barangan dirampas termasuk dadah serta sebuah kereta Perodua Axia yang membawa nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM203,723,” ujarnya.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati suspek menerima bekalan dadah di Kuala Lumpur daripada seorang lagi lelaki.

“Kami kini menjalankan siasatan untuk mengenal pasti individu tersebut.

“Berdasarkan siasatan kami, suspek dipercayai menerima pesanan melalui panggilan telefon,” katanya.

Tegas beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini atau aktiviti serupa boleh menghubungi polis Cheras di 03-9205 0222, atau Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115999.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI