fbpx

FarmByte, Agrobank perkasa petani hasilkan tanaman berkualiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Ahmad Badli Shah (tiga dari kiri) dan Syed Aiman Kifli (lima dari kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Agrobank dan FarmByte pada penganjuran MAHA di MAEPS, hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

SERDANG – Syarikat industri agromakanan, FarmByte Sdn. Bhd. dan Agrobank mengumumkan kerjasama strategik menerusi Program Pembiayaan Pertanian Ladang Kontrak FarmByte dengan peruntukan hampir RM12 juta.

Peruntukan itu merangkumi perbelanjaan operasi ladang dengan memfokuskan kepada tanaman seperti terung panjang, terung mini, peria, cili sakata, cili kulai dan bendi menerusi projek perintis akan dilancarkan di Johor.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, seramai 1,100 petani disasarkan untuk program tersebut yang mana kolaborasi itu bertujuan memperkasakan petani kecil dengan menyediakan sokongan pembiayaan dan akses kepada pasaran.

“Pembiayaan tersebut berbentuk pinjaman mudah dengan kadar rendah. Petani boleh mendapat tunjuk ajar khusus antaranya penyediaan tanah, barangan dan peralatan pertanian dan sebagainya dengan jangkaan pendapatan diperolehi kira-kira RM5,000 sebulan.

“Ini juga program baik dilancarkan oleh FarmByte apabila petani ini menggunakan teknologi terkini dalam pertanian, menjadikan ia lebih mudah untuk mendapatkan hasil,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Agrobank dan FarmByte pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Terdahulu, Tengku Ahmad Badli Shah mewakili Agrobank menandatangani perjanjian persefahaman tersebut, manakala FarmByte diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Aiman Kifli Syed Jaafar.

FarmByte merupakan anak syarikat Johor Corporation (JCorp) selain pelopor era baharu dalam industri agromakanan melalui teknologi inovatif dan penyelesaian berasaskan data. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI