MANCHESTER – Manchester United dilaporkan enggan tergesa-gesa untuk menurunkan penyerang utama mereka, Rasmus Hojlund yang baru pulih daripada masalah kecederaan, sekali gus menyaksikan pemain itu tidak akan disenaraikan pada aksi hujung minggu ini.
Pemain berusia 21 tahun itu masih belum membuat sebarang penampilan pada musim baharu kali ini selepas berdepan masalah hamstring ketika menentang Arsenal pada aksi pramusim Julai lalu.
Ekoran tahap kecergasan yang masih belum mencapai tahap terbaik, Hojlund tersisih daripada skuad Denmark pada aksi Liga Negara-Negara Eropah dan dijangka pulih untuk pertemuan menentang Southampton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Sabtu ini.
Bagaimanapun, pasukan perubatan United dilapor menangguhkan kepulangan Hojlund ke pangkuan skuad utama untuk mengelak sebarang risiko kecederaan yang mungkin berulang dan mahu memastikan pemain itu benar-benar pulih.
Selepas berkelana ke St. Mary untuk aksi berkenaan, United bakal melayan kunjungan Barnsley pada aksi Piala Liga Inggeris sebelum menentang Crystal Palace pada aksi EPL pada minggu berikutnya.
Sekiranya pengendali pasukan, Erik Ten Hag membuat keputusan untuk tidak menurunkan Hojlund pada aksi menentang The Saints, pemain tersebut mungkin akan memulakan aksinya musim ini ketika bertemu Barnsley nanti.
Ketika ini, United berdepan krisis kecederaan seperti musim lalu apabila turut kehilangan Luke Shaw, Leny Yoro serta Tyrell Malacia, malah Mason Mount terpaksa diketepikan sehingga Oktober nanti. – AGENSI