ASUNCION, Paraguay – Brazil terpaksa menelan hakikat perit apabila tewas kepada Paraguay buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun sejak 2008 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan hari ini.
Kekalahan 0-1 hasil jaringan Diego Gomez pada minit ke-20 dalam aksi di Stadium Chaco Defenders itu menyaksikan pengendali Brazil, Dorival Junior kini didesak para peminat bekas juara dunia lima kali tersebut agar melepaskan jawatannya.
Rata-ratanya tidak yakin dengan keupayaan Dorival untuk mengembalikan kegemilangan Selecao selepas turut menunjukkan prestasi mengecewakan sewaktu kempen Copa America di Amerika Syarikat pada Julai lalu.
Malah, mereka seakan hilang kepercayaan terhadap pengendali berusia 62 tahun itu biarpun beliau meletakkan sasaran peribadi untuk memastikan Brazil layak ke pentas final Piala Dunia 2026 nanti.
Lebih malang, Brazil kini jatuh ke tangga kelima dalam carta kelayakan zon Amerika Selatan apabila kini hanya dibezakan satu mata dengan Paraguay di kedudukan ketujuh yang merupakan slot playoff.
Situasi berbeza dialami Paraguay apabila dilihat kembali menikmati bola sepak terbaik di bawah pengendali baharu, Gustavo Alfaro yang dilantik pada 13 Ogos lalu.
Apa tidaknya, beliau hanya mengambil masa empat hari untuk menambat hati para peminat Paraguay menerusi kejayaan seri tanpa jaringan dengan Colombia pada 7 September lalu sebelum menang 1-0 ke atas Brazil semalam. – AGENSI