fbpx

Bekas tukang masak bunuh Nur Syuhada terlepas tali gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syarafi dikenakan hukuman penjara 38 tahun dan 14 sebatan berbanding hukuman mati di Kompleks Mahkamah Alor Setar, hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Bekas tukang masak yang didapati bersalah membunuh pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, Nur Syuhada Johari, 19, sembilan tahun lalu terlepas hukuman gantung sampai mati.

Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini sebaliknya menukar hukuman mati mandatori itu dengan penjara 38 tahun dan 14 sebatan setelah membenarkan permohonan Syarafi Abu, 34.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengikut Seksyen 2(4) dan 3(1) Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.

Tun Tengku Maimun memerintahkan hukuman penjara ke atas lelaki berkenaan dijalankan dari tarikh dia ditangkap pada 2 Februari 2015.

Terdahulu Peguam Syarafi, Farida Mohammad memohon hukuman ke atas anak guamnya itu diringankan dengan hukuman penjara 31 hingga 35 tahun.

Perkara itu bagaimanapun dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fuad Abdul Aziz yang mengemukakan hujah bahawa perkara dilakukan oleh pemohon sangat kejam.

“Maaf, Yang Amat Arif, Yang Arif, Yang Arif saya teremosi dalam perkara ini kerana saya sendiri mempunyai anak. Saya mohon hukuman gantung ini kekal. Mangsa ditikam dengan pisau rambo, anak yang dijaga sehingga besar tiba-tiba dibawa pergi dan dibunuh.

“Namun jika hukuman ini perlu ditukar saya mohon yang paling berat sehingga 40 tahun penjara dan 20 sebatan,” katanya.

Syarafi dilihat tenang di kandang tertuduh sepanjang persidangan itu berlangsung yang turut dihadiri oleh ahli keluarganya.

Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengekalkan hukuman mati ke atas bekas tukang masak kerana membunuh seorang pelajar perempuan dengan mengelar lehernya pada 6 November 2019.

Syarafi yang berusia 29 tahun ketika itu didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Taiping pada 2017 atas pertuduhan membunuh Nur Syuhada semasa di dalam sebuah kereta ketika berada di Kilometer 228.2, Lebuh Raya Utara Selatan di Bukit Gantang pada 2 Februari 2015.

Pada 12 Mei 2017, Mahkamah Tinggi Taiping menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas lelaki berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Seramai 68 banduan hukuman mati bagi kesalahan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan melalui semakan hukuman mati di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 [Akta 847].

Semakan tersebut dilaksanakan Mahkamah Persekutuan di Mahkamah Tinggi di sini selama dua hari bermula semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI