fbpx

Armizan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Perdagangan Türkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Armizan (kiri) mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Perdagangan Turkiye, Prof. Dr. Omer Bolat.

PETALING JAYA – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Perdagangan Turkiye, Prof. Dr. Omer Bolat.

Menurut beliau, kunjungan tersebut membincangkan pelbagai perkara yang melibatkan aspek tanggungjawab berkaitan kedua-dua kementerian seperti perdagangan dalam negeri, perlindungan pengguna, perundangan persaingan dan isu kos sara hidup.

“Perjumpaan di antara kedua-dua kementerian ini disusuli dengan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan badan berkuasa persaingan di Turkiye iaitu Turkish Competition Authority (TCA).

“Ini merupakan MoU yang pertama ditandatangani oleh MyCC dengan agensi persaingan negara lain,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Duta Besar Malaysia ke Turkiye, TYT Sazali Mustafa dan para pegawai kanan daripada (KPDN) dan MyCC.

Armizan berkata, MOU tersebut adalah langkah strategik untuk memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua agensi dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks dalam penguatkuasaan undang-undang persaingan.

“Fokus utama kerjasama ini adalah untuk meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan terutama dalam menangani kes-kes antipersaingan yang dinamik serta memperluas pertukaran maklumat dan kepakaran dalam pelbagai aspek undang-undang persaingan.

“MyCC telah memainkan peranan penting dalam memastikan persaingan yang adil dan terbuka di Malaysia.

“Sehubungan itu, MOU antara MyCC dan TCA ini adalah langkah penting untuk memperkasa peranan MyCC dalam membantu Kerajaan memerangi isu kartel dan monopoli,” katanya.

Tambah beliau, KPDN komited untuk terus memastikan pembangunan ekonomi yang seimbang dan melindungi kepentingan pengguna.

“Kementerian akan terus berusaha untuk mewujudkan pasaran yang adil dan terbuka, yang mana persaingan sihat dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI