KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad hoki lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh meluahkan kekecewaan setelah menyaksikan anak buahnya dibelasah 1-8 oleh India dalam aksi ketiga Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 yang berlangsung di Inner Mongolia, China hari ini.
Dalam aksi itu, Speedy Tigers ketinggalan 0-3 seawal tujuh minit pertama menerusi dua jaringan padang Raj Kumar Pal (m-2) dan Araijeet Singh Hundal (m-6) serta pukulan sudut penalti Jugraj Singh (m-7).
Raj Kumar turut mencetak nama selaku peledak hatrik dengan dua lagi gol padang buat juara bertahan itu pada minit ke-25 dan 33.
Baki tiga lagi jaringan melengkapkan pesta lapan gol India ke atas Malaysia diperoleh menerusi Harmanpreet Singh pada minit ke-22, Araijeet Singh (m-39) dan Uttam Singh (m-40).
“Kami bermula dengan sangat lemah, melepaskan tiga gol mudah dalam tempoh yang singkat. Para pemain nampaknya terlalu menghormati lawan sehingga hilang keyakinan diri.
“Apabila kami ketinggalan 0-3, moral pemain turut jatuh. Struktur pertahanan hari ini juga gagal menjalankan tugas dengan baik,” kata Sarjit.
Gol tunggal negara dalam aksi itu dijaringkan oleh Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-34.
Dalam masa sama, Sarjit turut menyatakan meskipun terdapat usaha untuk bangkit, kehebatan India dari aspek serangan dan kawalan permainan menyukarkan anak buahnya bagi mengubah nasib perlawanan.
“Kami berada dalam situasi yang sangat sukar. Jurulatih dan pemain perlu memikul tanggungjawab bersama dan bangkit pada perlawanan seterusnya. Kami perlu lebih fokus dan tidak mengulangi kesilapan yang sama,” ujar jurulatih berusia 61 tahun itu.
Sarjit turut menjelaskan Speedy Tigers kini berhadapan dengan misi wajib menang dalam perlawanan seterusnya menentang Jepun yang dijadualkan berlangsung esok bagi melayakkan mereka ke separuh akhir.
“Kami tiada pilihan selain menang esok. Jika gagal, peluang untuk mara ke separuh akhir akan tertutup. Apa yang berlaku hari ini tidak boleh berulang esok,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE