BESUT – Seramai 26 warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tiga wanita yang disyaki bekerja secara haram di Pulau Perhentian dekat sini, ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Imigresen (JIM), semalam.
Kebanyakan warga asing berusia dalam lingkungan 22 hingga 50 tahun yang ditahan terbabit berkerja di pusat spa dan resort selain menawarkan perkhidmatan teksi air di pulai peranginan terkenal berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tangkapan dalam operasi khas berkenaan melibatkan 13 warga Banglesh, Myanmar (enam), Thailand (tiga) Pakistan (dua), Nepal (dua) dan Indonesia (satu).
Beliau berkata, mereka termasuk tiga wanita warga Thailand yang menawarkan perkhidmatan spa kepada pengunjung pulau peranginan tersebut.
“Serbuan dilakukan berikutan risikan yang dilakukan sejak dia minggu lalu. Sebahagian suspek sudah bekerja di Pulau Perhentian sejak sembilan bulan lalu.
“Operasi dilakukan bersama Jabatan Perikanan. Lapan warga asing itu disyaki menyalah guna pas lawatan sosial, manakala selebihnya gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya di sini, hari ini.
Ruslin berkata, lapan warga asing yang menyalah guna pas lawatan sosial itu merupakan masing-masing tiga warga Thailand dan Bangladesh serta dua warga Pakistan.
Tambah beliau, dua lelaki tempatan yang disyaki majikan sebahagian warga asing ditahan tersebut, diarahkan hadir ke pejabat JIM Terengganu untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39b Peraturan Imigresen 1963,” katanya. – KOSMO! ONLINE