SEOUL, KOREA SELATAN- Satu kerangka antarabangsa perlu diwujudkan bagi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang lebih bertanggungjawab dan beretika dalam bidang ketenteraan khususnya di negara membangun dan selatan global.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, elemen itu perlu diberi perhatian sebaiknya ekoran wujud jurang perbezaan ketara dalam penggunaan teknologi AI terutamanya dalam domain ketenteraan.
“Kerangka terbabit sekurang-kurangnya perlu mempertimbangkan pembangunan saluran konstruktif yang akan membantu negara kurang bernasib baik untuk mendapat bantuan dengan cara bermakna.
“Kerangka antarabangsa itu juga harus menangani potensi berat sebelah dalam menentukan apa yang dimaksudkan dengan penggunaan AI beretika dan bertanggungjawab dalam domain ketenteraan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Meja Bulat Menteri sempena Sidang Kecerdasan Buatan (AI) yang Bertanggungjawab dalam Bidang Ketenteraan (REAIM) 2024 di sini tadi.
Menerusi sesi itu, Mohamed Khaled bersama delegasi antarabangsa lain seperti Menteri Luar Republik Czech, Jan Lipavsky; Menteri Pertahanan Cameroon, Joseph Beti Assomo dan Menteri Pertahanan Rwanda, Juvenal Marizamunda berbincang berkaitan topik kebimbangan dan cabaran AI.
Mengulas lanjut, katanya, penekanan sewajarnya perlu diberikan pihak terlibat berhubung kepentingan mempunyai kerangka antarabangsa yang sejagat dan seimbang.
“Kegagalan kita dalam memastikan keterangkuman dan nilai universal serta prinsip teras dalam merumuskan norma asas dan kerangka antarabangsa hanya akan membawa kepada ekosistem yang bias, eksploitasi dan merosakkan,” katanya.
Untuk rekod, hari ini merupakan sesi terakhir bagi sesi REAIM 2024 di mana esok Mohamed Khaled akan menghadiri Dialog Pertahanan Seoul yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Korea Selatan, Han Duck-Soo. – KOSMO! ONLINE