PETALING JAYA – Seorang isteri meluahkan rasa kecewa dengan suaminya yang secara terang-terangan ‘mengutuk’ masakan ibunya yang didakwa tidak sedap.
Luahan itu tular selepas dikongsikan di aplikasi CuriousCat, sekali gus menarik perhatian ramai yang turut bersimpati dengan situasi yang dihadapi wanita tersebut.
“Hari itu saya tanya manja-manja saja, sedap tak saya masak? Dia reply ‘Bolehlah dimakan. Masakan you (awak) bland (tawar) macam masakan mak u (awak). Kalau mak saya masak, boleh rasa setiap flavour itu.
“Macam itu dia kutuk masakan mak saya, padahal setiap kali kami balik kampung, mak paling semangat masak untuk dia. Rupanya ini komen dia,” kata wanita tersebut
Kejadian kedua pula berlaku apabila ibu bapa wanita itu pulang daripada mengerjakan umrah dan menghadiahkan sehelai sejadah serta jubah kepada anak menantu mereka.
Bagaimanapun, suami wanita tersebut sekali lagi memberikan komen yang mengecewakan.
“Sampai saja di Kuala Lumpur, husband membelek sejadah itu. Dia komen ‘ini mesti sejadah murah, nipis sangat’. Saya terus lipat sejadah itu dan masuk bilik, menangis.
“Jenis jujur dan celupar tidak bertempat. Saya pernah tegur dia pasal benda ini dan kata jujur is good (bagus),” katanya.
Luahan ini telah mendapat pelbagai reaksi daripada netizen, yang rata-ratanya bersimpati dengan keadaan wanita tersebut.
“Jawapan pedas kena balas pedas. Lauk rasa bland? Sebab sihat. Mak awak masak bubuh aji banyak-banyak sebab tu awak bercakap guna kepala lutut.
“Sejadah murah? Dalam solat Allah tak pandang sejadah kita. Allah pandang hati. Jenis tak bersyukur ni, Allah tak suka,” komen Mira.
“Ini bukan jujur, ni biadab. Memang tak diajar adab kot sebab tu celupar, biadab dan tak berterima kasih langsung,” ujar Fara. – Kosmo! Online