fbpx

Veterinar tidak keluar SKV eksport produk makanan laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) tidak pernah mengeluarkan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) bagi pengeksportan produk makanan laut.

DVS dalam kenyataan memaklumkan, ia susulan pihaknya menerima makluman daripada pihak berkuasa Turkiye mengenai dokumen SKV yang menggunakan nama dan cap jabatan itu mengiringi produk makanan laut ke Turkiye.

“Hasil siasatan mendapati bahawa SKV tersebut tidak dikeluarkan oleh DVS, dan nama, cap serta tandatangan pegawai telah dipalsukan bagi tujuan pengeksportan produk makanan laut ke negara berkenaan.

“Perlu dijelaskan bahawa peruntukan kuasa di bawah Akta Binatang 1953 tidak merangkumi produk makanan laut. Oleh itu, DVS tidak mengeluarkan SKV bagi produk ini,” katanya hari ini.

DVS berkata, adalah menjadi tanggungjawab pengeksport untuk mendapatkan Sijil Kesihatan daripada pihak berkuasa yang berkaitan.

“DVS memandang serius perkara ini kerana pemalsuan dokumen SKV boleh memberi implikasi negatif kepada reputasi jabatan, negara, serta hubungan dagangan antarabangsa.

“DVS ingin menegaskan bahawa jabatan ini tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama dan cap jabatan,” ujarnya.

Jelas DVS, mana-mana individu yang melakukan pemalsuan atau membuat dokumen palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 463 atau 464 Kanun Keseksaan (Akta 574). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI