fbpx

Tuduhan Jawatankuasa Harmoni agenda pluralisme keterlaluan, tidak benar – Aaron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aaron.

PUTRAJAYA – Tuduhan bahawa Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni) sebagai agenda pluralisma agama di bawah kerajaan disifatkan amat keterlaluan dan tidak benar sama sekali.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, jawatankuasa ini yang ditubuhkan kerajaan terdahulu pada 2020 merupakan satu-satunya platform untuk merapatkan jurang antara badan-badan agama Islam dan selain Islam serta berkongsi pandangan yang memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Katanya, dua fungsi utama jawatankuasa ini adalah mencadangkan kepada kerajaan berhubung pelaksanaan strategi bersesuaian serta berteraskan nilai-nilai murni keagamaan demi meningkatkan kefahaman dan keharmonian mengenai kepelbagaian agama.

Jelasnya, ini termasuk melaksanakan secara bersama aktiviti kesedaran dan keharmonian antara penganut agama demi manfaat masyarakat.

“JK Harmoni bersidang dua kali setahun dan dipengerusikan bersama Menteri Perpaduan Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan keahlian seramai tiga orang terdiri daripada wakil agensi dari Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

“Ia turut disertai 10 orang penganut agama Islam dan 15 orang mewakili penganut selain Islam dengan tiga biro utama iaitu Biro Pengurusan Program dan Promosi, Biro Pendidikan dan Penerangan serta Biro Pengurusan Isu dan Mediasi yang bertujuan memastikan gerak kerja lebih efektif dalam melaksanakan inisiatif keharmonian antara agama di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas rakaman video mengenai tuduhan aktivis Che GuBard yang turut membuat tuduhan palsu berhubung kehadiran anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) ke Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) melalui Program Harmoni Madani melibatkan aktiviti ritual dengan tujuan menyamaratakan agama lain dengan Islam.

Aaron menegaskan bahawa pelaksanaan program itu tidak langsung menyentuh tentang akidah atau amalan ritual mana-mana agama.

Sebaliknya, beliau berkata, program itu bertujuan menyebarkan semangat kebersamaan, saling memahami, mengangkat nilai sejagat antara agama sekali gus mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan budaya.

“Pelaksanaan Inisiatif Harmoni Madani mengenengahkan konsep asas integrasi nasional iaitu Faham, Hormat dan Terima bagi memastikan budaya keharmonian antara masyarakat sentiasa terpelihara.

“Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) tahun 2022 mencatat nilai 0.629 menunjukkan perpaduan nasional berada pada tahap sederhana dan terkawal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aaron berkata, agama turut menjadi salah satu defisit sosial kerana kurang sensitiviti serta kefahaman berkenaan agama yang berbeza memberi kesan kepada hubungan dan interaksi masyarakat.

Justeru, jelasnya, pengurusan isu dan cabaran menyentuh konteks perpaduan memerlukan pendekatan dan inisiatif berterusan bagi memastikan keadaan perpaduan masyarakat sentiasa terpelihara.

“Kementerian ini dan Jakim telah menjadikan keharmonian antara penganut agama sebagai agenda utama dalam meningkatkan keharmonian rakyat di negara ini.

“Pada 8 Ogos lalu, JK Harmoni meluluskan cadangan Piagam Harmoni Malaysia sebagai medium perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia yang merangkumi enam prinsip, 12 nilai keharmonian, 32 panduan dan sembilan hala tuju.

“Ia turut mengandungi satu garis panduan meliputi perkara yang dibolehkan dan dielakkan dalam memperkasa hubungan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya serta mampu menatijahkan kemakmuran seperti dihasratkan dalam konsep Malaysia Madani,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI