fbpx

Taman Tasik Seksyen 7 selamat, tiada buaya – Perhilitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Perhilitan Selangor mengeluarkan perangkap yang dipasang di Taman Tasik Sesyen 7, Shah Alam.

SHAH ALAM – Taman Tasik Seksyen 7 di sini, disahkan selamat selepas tiada buaya lain dikesan berada di kawasan berkenaan setakat ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, pihaknya menjalankan pemantauan selama tiga hari susulan penemuan seekor buaya jantan tembaga pada 4 September lalu.

Jelas beliau, pemerhatian rapi itu dilakukan menggunakan kaedah dron, ‘night vision’ dan menyuluh bagi mengesan kehadiran reptilia tersebut.

“Anggota kita memantau seluruh kawasan tasik itu sehingga waktu malam dan tiada lagi menemui buaya sekali gus disahkan selamat.

“Justeru, kita mengeluarkan perangkap pada Sabtu lalu dan operasi itu ditamatkan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Wan Mohd. Adib, buaya yang berjaya ditangkap telah dilepaskan ke Paya Indah Wetlands, Dengkil dan didapati tiada sebarang penyakit.

“Kita tidak menolak kemungkinan sama ada buaya itu sesat ketika banjir atau dibuang oleh pihak tertentu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan hidupan liar supaya menyalurkannya kepada Jabatan Perhilitan menerusi talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.  -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI