MELAKA – “Saya akan peluk baju ini, cium. Baju ini masih ada bau dia kalau saya sangat rindukan dia memang saya akan peluk, mengharapkan dia hadir dalam mimpi saya.”
Demikian ujar Nurul Fateha Md. Sandollah, 37, ibu bayi enam bulan, Haura Najia Mohd. Kamaruddin Helsa yang meninggal dunia selepas dihantar ke sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Pulau Gadong pada 27 Oktober 2022.
Mengimbau ‘tragedi’ malang tersebut, ibu bapa Haura Najia Mohd. Kamaruddin Helsa merayu agar kematian anak mereka mendapat pembelaan sewajarnya.
Nurul Fateha berkata, Haura dihantar ke taska dalam keadaan sihat sebelum pihak pengurusan memaklumkan bayinya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Melaka pada pukul 4.29 petang.
Jelasnya, pegawai perubatan bagaimanapun memaklumkan bayinya tidak mempunyai denyutan nadi dan bantuan pernafasan diberikan selama 24 minit sebelum diintubasi sehingga disahkan meninggal dunia pada 29 Oktober 2022.
“Tetapi sehingga kini permintaan kami untuk melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di taska terbabit tidak dilayan, malah tiada tindakan susulan diambil oleh agensi terlibat berkaitan kematian Haura.
“Keputusan bedah siasat Haura juga diperolehi kami selepas empat bulan kematiannya, begitu lama dan akhirnya hanya disahkan jangkitan kuman dalam paru-paru,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Bertam Impian di sini, semalam.
Tambahnya, kejadian yang menimpa bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhamad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri akibat dibedung, disumbat botol susu dan ditekup bantal di sebuah taska di Kelemak pada Jumaat lalu menimbulkan rasa tidak berpuas hati terhadap kepincangan yang berlaku.
Ujarnya, pihak taska juga memberikan penjelasan sama bayinya telah dibedung dan disumbatkan susu sebelum disedari berada dalam keadaan kaku oleh pengasuh.
“Apa yang membezakan kes Al Fateh dengan Haura ini, kami tak dapat tengok CCTV taska dan mereka boleh kata CCTV yang ada hanyalah ‘dummy’ semata-mata. Bukan anak mereka yang meninggal, anak saya.
“Tetapi pengasuh ada beritahu kami dia bedung Haura dari pagi sehingga petang kira-kira enam jam sebelum menyedari Haura tidak sedarkan diri ketika ingin memandikannya,” katanya.
Luahnya lagi, sebelum kejadian dia juga dalam perancangan untuk menukarkan taska bayinya selepas mendapati mata anaknya lebam dan pengasuh memberikan alasan ia disebabkan Haura menggosok matanya.
Nurul Fateha berkata, dia merayu agar pihak terlibat tampil memberikan penjelasan termasuk tindakan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri yang masih membenarkan taska tersebut terus beroperasi meskipun ketika dikejadian berlaku ia didapati tidak berdaftar. – KOSMO! ONLINE