PETALING JAYA – Isu amaran Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang akan menarik balik darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan daripada penerima yang terbabit jenayah, mencemar nama negara atau dihukum oleh mahkamah merupakan isu terakhir yang telah dikupas blogger Allahyarham Raja Petra Kamarudin dua hari lalu.
Allahyarham yang menyifatkan tindakan yang bakal diakukan oleh Sultan Ibrahim itu adalah tindakan wajar dalam menjaga status dan maruah Istana Negara.
Video kupasan Allahyarham menerusi akaun Malaysia Today di Facebook dua hari lalu itu menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong itu adalah tindakan tegas yang perlu dilaksanakan.
“Pada tahun 1970-an, ada satu ‘joke’ apabila pengarah penjara membuat ucapan (salutasi) di hadapan banduan, dia akan berkata Tun, Tan Sri, Datuk Seri, Datuk, Tuan Haji dan banduan sekalian.
“Sebab ramai orang yang ber Datuk atau Tan Sri apa sekali pun, duduk dalam penjara dihukum kerana jenayah, bukan sahaja Melayu, ada juga Cina dan sebagainya yang dipenjara atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa,” katanya menerusi video tersebut.
Pengendali laman web Malaysia Today itu berkata, tindakan menarik balik gelaran yang dikurniakan wajar dilaksanakan kerana mereka yang melakukan jenayah dan menerima hukuman, tidak layak memiliki gelaran terbabit.
“Kalau dipenjara, eloklah gelaran itu ditarik balik sebab awak diberi gelaran atau dianugerah dengan apa sahaja anugerah kerana jasa kepada negara dan bangsa.
“Tetapi apabila awak dah lakukan jenayah yang boleh dikatakan malu bagi status orang bergelar, awak tidak layak untuk terus diberi gelaran itu,” katanya.
Katanya, individu yang ditarik balik darjah kebesaran bukan sahaja mendapat malu akibat dilucutkan gelaran, malah berdepan kritikan dan pandangan umum.
Raja Petra meninggal dunia malam tadi di United Kingdom (UK) akibat kuman dalam darah.
Terdahulu, Sultan Ibrahim pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda memberi amaran akan menarik balik darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan daripada penerima yang terbabit jenayah, mencemarkan nama negara atau dihukum oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE.