PETALING JAYA – Penulis blog, Raja Petra Kamarudin meninggal dunia malam tadi di United Kingdom (UK) pada usia 74 tahun.
Kematiannya disahkan oleh abangnya, Raja Idris melalui hantaran ringkas di Facebook pagi tadi.
“Dengan rasa dukacita, saya memaklumkan bahawa adik kesayangan saya, Raja Petra Kamarudin, baru sahaja meninggal dunia pada jam 11.26 malam waktu UK pada Isnin (9 September) di Manchester, UK,” katanya.
Raja Petra, lebih dikenali sebagai RPK, dilahirkan pada 27 September 1950.
Beliau mengendalikan laman web Malaysia Today, yang menerbitkan ulasan dan artikel mengenai politik Malaysia, yang sering menjadi kontroversi.
Beliau telah menetap di Manchester sejak beberapa tahun lalu.- KOSMO! ONLINE