fbpx

Pemandu lori, kelindan buang sisa kimia di Johor diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sungai Tebrau yang tercemar dengan bahan kimia

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang pemandu lori dan kelindannya di sebuah pangsapuri di daerah ini malam tadi kerana disyaki terlibat kes pencemaran bahan kimia di Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata,
dua lelaki tempatan berusia 23 dan 28 tahun itu juga ditangkap selepas dipercayai membuang bahan kimia di Sungai Linggiu berhampiran Kampung Orang Asli Pasir Intan, Kota Tinggi pada 4 September lalu.

“Mereka ditahan di sebuah pangsapuri pada pukul 11 malam. Semakan rekod lampau mendapati, kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya bebas pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kedua-dua mereka akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Isnin depan.

Kes disiasat bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI