fbpx

Pemain industri tempatan perlu cari peluang perkasa teknologi AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (kanan) ketika menghadiri sesi makan tengah hari bersama wakil delegasi negara antarabangsa pada sesi hari kedua REAIM 2024 di Seoul hari ini.

SEOUL, KOREA SELATAN- Kumpulan pemain industri tempatan diminta memperkasa teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam bidang ketenteraan, seterusnya membolehkan keupayaan mereka seiring dengan perkembangan teknologi berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, seruan itu dibuat kepada kumpulan pemain industri susulan AI kini berterusan diaplikasikan dalam bidang ketenteraan.

Katanya, pemain industri tempatan mempunyai kekuatan tersendiri berikutan AI merupakan teknologi yang dimajukan dan diperkenal oleh sektor komersial.

“Saya percaya pemain industri tempatan mempunyai kekuatan sendiri untuk pelopori teknologi AI dalam bidang ketenteraan agar ATM (Angkatan Tentera Malaysia) boleh menggunakan teknologi mereka.

“Kita ada syarikat-syarikat tempatan yang terlibat dalam pembangunan AI (seterusnya) boleh diaplikasikan dalam sektor komersial,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pemain industri tempatan yang mempunyai idea bagi membangunkan AI juga boleh mengemukakannya kepada Kementerian Pertahanan bagi membolehkan teknologi itu digunakan.

Terdahulu, Mohamed Khaled menghadiri Sidang Kecerdasan Buatan (AI) yang Bertanggungjawab dalam Bidang Ketenteraan (REAIM) 2024 yang turut dihadiri delegasi dari 90 negara antarabangsa lain.

Sementara itu, bagi sesi hari kedua penganjuran REAIM 2024, Mohamed Khaled turut dijadualkan menyertai segmen menteri bersama delegasi terlibat bagi bertukar pandangan berkaitan teknologi AI.

Untuk rekod, REAIM 2024 merupakan platform perbincangan global dengan semua pihak berkepentingan berkaitan cara untuk memastikan aplikasi ketenteraan AI yang bertanggungjawab. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI