fbpx

Pasport kekal: Pendakwaan kemuka bantahan awal rayuan Na’imah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Na'imah ketika hadir di Mahkamah Rayuan hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan telah mengemukakan bantahan awal di Mahkamah Rayuan di sini hari ini berhubung rayuan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsanya secara kekal.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada sebutan kes rayuan Na’imah di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

“Hari ini ditetapkan pendengaran bantahan awal oleh pihak responden. Untuk makluman pihak kami bersedia dengan bantahan awal itu (hujahan),” kata Wan Sharuddin.

Mendengar perkara itu, hakim Ahmad Zaidi kemudian memaklum dan menetapkan supaya pendengaran bantahan awal dan rayuan didengar sekali.

“Panel hakim akan membuat keputusan berhubung bantahan awal (pihak pendakwaan) terlebih dahulu, jika mahkamah menolak bantahan tersebut maka kita teruskan dengan hujahan rayuan berhubung merit oleh pemohon,” kata hakim Ahmad Zaidi.

Semasa prosiding Na’imah diwakili peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.

Justeru Mahkamah Rayuan menetapkan 28 November ini bagi pendengaran bantahan awal pihak pendakwaan dan pada tarikh sama mendengar rayuan Na’imah sekiranya bantahan awal tersebut ditolak.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah yang Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin.

Pada 22 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Na’imah untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsanya secara kekal.

Hakim Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas mendapati tindakan Hakim Mahkamah Sesyen yang mengarahkan supaya pasport Na’imah diserahkan kepada mahkamah adalah sah, wajar dan tidak terdapat ketidakadilan yang berlaku.

Pada masa sama Mahkamah Tinggi turut bersetuju dengan hujahan pendakwa raya bahawa tidak ada jaminan pemohon (Na’imah) tidak melarikan diri jika pasport tidak ditahan di mahkamah.

Hakim itu berkata dalam kes-kes membabitkan personaliti antaranya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang pernah didakwa di mahkamah, mereka juga dikenakan syarat tambahan iaitu pasport di serahkan kepada mahkamah.

Sementara itu mengenai sama ada keputusan Mahkamah Sesyen telah melanggar hak Na’imah di bawah Perlembagaan Persekutuan, Hakim Ahmad berkata hak Na’imah sebagai warganegara berubah selepas beliau didakwa di mahkamah.

Pada 23 Januari lalu, Na’imah, 67, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Hakim Azura Alwi kemudian membenarkan Na’imah diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan beliau untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI