fbpx

K2

Pameran piring hitam imbau nostalgia lagu klasik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung terpegun melihat pelbagai piring hitam yang dipamerkan.

GENERASI baharu barangkali tidak pernah melihat piring hitam yang satu ketika dahulu digunakan untuk merekod lagu.

Tanpa teknologi canggih, alunan irama yang terhasil daripada piring hitam yang penuh dengan elemen klasik boleh membuatkan sesiapa pun terpukau.

Bahkan, alunan lagu yang dimainkan oleh piring hitam itu juga mampu membawa pendengarnya kembali ke era tersebut dan mengimbau kenangan lalu.

Bagi meraikan nostalgia klasik lagu-lagu Melayu tanah air, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) menganjurkan Pameran Piring Hitam 78rpm baru-baru ini.

Kurator Muzium Etnografi Melayu, Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya, Mohammad Anis Abdul Samad berkata, pameran tersebut mengumpulkan 200 keping piring hitam lagu-lagu Melayu klasik yang berlangsung bermula 1 Ogos sehingga 16 September ini.

Lagu-lagu tersebut merangkumi dendangan arwah Tan Sri P. Ramlee, Puan Sri Saloma, Nona Asiah, Momo Latif, Rokiah Wanda, A. Rahman, R. Azmi, Ahmad C.B. dan Jasni.

Pameran yang diadakan di Akademi Pengajian Melayu, UM itu menghimpunkan 200 keping piring hitam lagu Melayu klasik.

Lagu-lagu itu juga mempunyai pelbagai tema daripada patriotik sehinggalah jenaka dan drama.

Kongsi Mohammad Anis, selain piring hitam, muzium itu turut mempamerkan gramofon atau peti nyanyi yang mana ia menggunakan kuasa spring untuk dimainkan.

“Apa yang menarik tentang gramofon ini adalah ia tidak menggunakan kuasa elektrik untuk dimainkan, sebaliknya ia hanya menggunakan kuasa spring.

“Cara memainkannya pula adalah dengan menggunakan jarum yang berfungsi untuk membaca permukaan piring.

“Jarum ini mudah tumpul dan hanya mampu memainkan satu atau dua lagu sahaja.

“Selepas ia menjadi tumpul, maka jarum tersebut perlu ditukar,” katanya.

Piring hitam itu merekodkan lagu-lagu nyanyian seniman dan seniwati silam terkenal negara.

Penganjuran pameran tersebut adalah sebagai mengimbau sejarah industri rakaman negara, penyanyi dan lagu-lagu Melayu lama selain menjadi medium pertemuan buat pengumpul barangan antik dan peminat lagu-lagu Melayu klasik.

Seorang peminat piring hitam yang hanya mahu dikenali sebagai Shahidan berkata, dia teruja apabila dapat melihat koleksi piring hitam yang dipamerkan di Muzium Etnografi Melayu.

Kongsinya, kebanyakan piring hitam yang ada dalam simpanannya diwarisi daripada bapa saudara dan bapanya.

Kebanyakannya juga masih dalam keadaan baik dan boleh dimainkan, menjadikan Shahidan terimbau kenangan lama.

“Ada sesuatu yang cukup menarik pada alunan muzik rakaman piring hitam yang menyebabkan saya amat menyukainya,” kongsinya.

Pameran tersebut juga merupakan kesinambungan daripada penyelidikan APM yang mahu mengangkat piring hitam dan gramofon sebagai khazanah universiti.

APM pada 1970-an telah mengumpul 471 keping piring hitam yang mengandungi kira-kira 942 buah lagu Melayu lama dan dikeluarkan sekitar tahun 1920-an.

Sehingga kini, Muzium Etnografi Melayu terus melakukan usaha baik pulih terhadap bahan artifak lama untuk dimanfaatkan sebagai rujukan, penyelidikan dan pameran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI