BANGKOK – Seorang lelaki di wilayah Nakhon Ratchasima terpaksa menahan sakit akibat jangkitan pada cuping telinganya yang bengkak teruk selepas memakai mangga kunci sebagai anting-anting, lapor laman berita Thaiger.
Lelaki tersebut dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Chakkarat untuk mengeluarkan mangga kunci tersebut.
Seorang kakitangan kesihatan, Keacha Ploymuenwai, berkongsikan video tersebut di laman TikTok, yang menunjukkan cuping telinga lelaki berkenaan dalam keadaan bengkak.
Selain membengkak, ia juga berdarah, menyebabkan doktor terpaksa memotong sebahagian cuping telinga kiri itu.
Berdasarkan perbualan video, lelaki berkenaan didengari memberi izin agar sebahagian cuping telinganya dikerat bagi mengeluarkan mangga tersebut meskipun dia akan berasa sakit.
Saluran berita Channel 7 melaporkan, pegawai perubatan mengerat cuping telinga, dan bukan mangga kunci kerana anggota badan itu hampir terkoyak akibat jangkitan.
Mangsa juga dilaporkan kehilangan kunci bagi mangga itu, menyebabkan dia tidak dapat membukanya semula.
Punca lelaki tersebut bertindak demikian tidak diketahui namun, Channel 7 melaporkan, dia menghidap masalah mental. – AGENSI