DIKENALI sebagai artis yang mudah mesra, namun kesabaran Alia Bhatt diuji akibat kedegilan sekumpulan paparazzi sehingga menyebabkan aktres itu terpaksa meninggikan suara.
Situasi tersebut berlaku ketika isteri kepada Ranbir Kapoor itu mahu memasuki bangunan kediamannya di Mumbai.
Sebelum itu Alia sudah memberikan beberapa pose tetapi ketika melangkah masuk ke lobi, beberapa jurugambar bebas tetap berdegil mengekorinya.
Secara spontan aktres Ganggubai Kathiawadi menegur paparazzi terbabit sambil menegaskan mereka tidak wajar mengikutinya masuk dalam premis persendirian.
Insiden tersebut seakan-akan mengulang semula kejadian tahun lalu apabila seorang jurugambar merakamkan fotonya secara curi ketika bersama keluarga di rumah. Lelaki terbabit membidik lensa kameranya dari bangunan berhadapan unit kondominium milik Alia dan Ranbir.