ALOR SETAR – Seorang lelaki terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati itu dengan penjara 35 tahun kerana membunuh teman wanitanya, 10 tahun lalu.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika bersidang hari ini bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.
Dalam Persidangan Semakan Hukuman Mati di Mahkamah Tinggi di sini itu, panel berkenaan sebulat suara menerima permohonan Abd. Khalid Md. Isa, 53, yang disahkan mengalami masalah mental.
Panel turut mengenepikan hukuman sebatan ke atas Abd. Khalid Md Isa, 53, atas faktor usia dan menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 1 Oktober 2014.
Abd. Khalid yang ditempatkan di Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang sebelum ini dijatuhi hukuman mati setelah didapati bersalah membunuh Rohani Hashim, 30, di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Datok Keramat Bukit Tengah Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 30 September 2014 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, peguam Abd. Khalid, Rashid Zulkifli mengemukakan pemohonan mengenepikan hukuman mati itu atas alasan anak guamannya itu mengalami masalah mental selain insaf dengan perbuatannya.
“Pemohon mempunyai masalah mental dan perkara ini dibuktikan oleh laporan kesihatannya. Selain itu pemohon juga menunjukkan kekesalan yang amat atas perbuatannya sebelum ini.
“Itu dijelaskan dengan pengakuan bersalahnya sebelum ini. Selain itu pemohon juga didapati sudah insaf dan mengikuti program keagamaan di penjara,” kata Rashid.
Pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fauziah Daud tidak membantah permohonan tersebut, namun meminta panel terlibat menetapkan hukuman penjara 35 hingga 40 tahun terhadap Abd. Khalid.
Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 2019 mengekalkan hukuman gantung terhadap bekas pengusaha kantin tersebut setelah didapati bersalah membelasah teman wanitanya sehingga mati dan kemudian tidur semalaman dengan mayat itu.
Mengikut fakta kes, Abd. Khalid berulang kali memukul kepala Rohani dengan spanar dan menghantuk kepalanya ke tiang rumah sehingga menyebabkan kematiannya.
Cebisan anggota mangsa ditemui dalam bara api di belakang rumah Abd. Khalid pada keesokan harinya.
Abd. Khalid dilihat tenang ketika Tun Tengku Maimun membacakan keputusan tersebut. – KOSMO! ONLINE