KOTA TINGGI – Satu rangka manusia ditemukan di loji kumbahan di Taman Seri Penawar, Bandar Penawar di sini oleh kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembersihan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan tulang manusia itu semalam sebelum sepasukan anggota dan unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor ke lokasi kejadian.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menjumpai kain pelikat tersangkut pada mesin kisar tapis sampah.
“Pihak Bomba membantu mengeluarkan rangka serta tulang yang ditemui tersangkut di tengah-tengah mesin kisar tapis sampah itu.
“Hasil pemeriksaan menyeluruh yang dibuat di lokasi kejadian berjaya menjumpai satu tengkorak, tujuh ketul tulang panjang, sepasang tulang pinggul dan segumpal rambut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, spesimen tulang telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE