TAIPING – Sebuah kilang memproses sekaya di Taman Glenview di Kamunting di sini semalam dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggunakan logo halal yang tidak sah.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kilang tersebut diserbu penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping kira-kira pukul 10.45 pagi yang mana satu kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Perakuan dan Penandaan Halal) berjaya dihasilkan.
Katanya, melalui pemeriksaan yang dijalankan, pihaknya mendapati kilang tersebut beroperasi mengeluarkan produk makanan iaitu jem sekaya.
“Pemeriksaan lanjut ke atas produk akhir mendapati terdapat logo halal pada bungkusan sekaya tersebut. Produk makanan ini juga dipercayai adalah untuk edaran jualan di sekitar Perak dan Pulau Pinang.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, pemilik perniagaan telah gagal mengemukakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Kamalludin berkata, satu tindakan kes telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana disyaki telah menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim).
Menurut beliau, sebanyak 65 unit produk jem sekaya yang siap dan 2,000 unit bekas plastik yang tertera logo halal tidak sah digunakan untuk tujuan perdagangan dan dokumen berkaitan telah disita.
“Nilai keseluruhan barang rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM452.25. Kes disiasat di bawah Perintah 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal.
“Jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM500,00 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM1 juta,” katanya.
Beliau berkata, jika pesalah bukan pertubuhan atau perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM 250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM 500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE