fbpx

Kerajaan terbuka terima pandangan usahawan Cina tingkat landskap ekonomi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) ketika merasmikan Konvesyen Usahawan Cina Sedunia ke-17 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kerajaan terbuka untuk menerima pandangan daripada usahawan Cina tempatan dan antarabangsa bagi mewujudkan persekitaran ekonomi yang kondusif di Malaysia untuk pelaburan dan invoasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memberi keutamaan kepada peningkatan landskap ekonomi di bawah rangka kerja ekonomi Madani.

“Kami membuat dasar, namun anda (usahawan) boleh beri pandangan. Apa lagi yang perlu dilakukan untuk memupuk persekitaran yang kondusif bagi pelaburan dan inovasi.

“Kerana kami bukan di sini untuk menyatakan sistem dan dasar kini sudah sempurna. Kami untuk mentadbir dan membuat pengubahsuaian yang diperlukan kerana yang penting adalah kemajuan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Usahawan Cina Sedunia ke-17 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, hanya melalui kejayaan ekonomi, negara boleh memastikan perkara asas seperti perumahan, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur yang lebih baik.

“Inilah yang dimasudkan dengan keterangkuman. Dasar yang bukan sahaja menggalakkan pertumbuhan ekonomi, namun turut mementingkan kebajikan rakyat

“Kerajaan sentiasa mengiktiraf sumbangan masyarakat Cina Malaysia dalam perkembangan sosioekonomi negara, kebudayaan, pendidikan perindustrian,” ujarnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, usahawan Cina di peringkat global mempunyai peranan yang besar dalam menjaga kerjasama ekonomi serantau.

“Dari Asia Tenggara ke Asia Timur, Amerika Syarikat, Kanada, Eropah dan Afrika, usahawan Cina ada bekerjsama rapat dengan pihak lain untuk menjalin hubungan perniagaan yang lebih mendalam,” ujarnya.

Tambah Anwar, Malaysia dan China mempunyai kerjasama dua hala sekian lama yang disokong melalui perdagangan dan pelaburan.

“Pada 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut dengn jumlah bernilai ASD98.80 bilion.

“Malaysia dan China telah meletakkan asas yang kukuh untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor utama bagi memacu ekonomi kedua-dua negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI