KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan memberi jaminan untuk membantu menyiapkan pembinaan Sistem Pam Kemubu dan Lemal dengan peruntukan sebanyak RM20 juta yang sudah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, kerja penyelesaian jangka sederhana itu juga melibatkan pembaikan benteng cerucuk sementara dan kerja-kerja berkaitan di Skim Pengairan Kemubu dengan anggaran kos RM15 juta.
Menurutnya, perbincangan telah diadakan antara kerajaan negeri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan kebajikan para petani terjaga termasuk isu berkaitan bekalan air untuk pengairan tanaman padi dapat diselesaikan.
“Insya-Allah masalah petani-petani di negeri ini dapat diselesaikan. Ada pembentangan di Mesyuarat Exco pada Rabu ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Rumah Pam Kemubu, Ketereh di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Nassuruddin memberitahu, kerja penyelesaian segera dan darurat juga dilakukan menerusi kaedah telaga tiub dengan anggaran kos RM1.2 juta yang sudah dipohon kepada Kerajaan Persekutuan.
Katanya, kerajaan negeri juga telah meluluskan RM350,000 untuk tujuan sama termasuk pemecahan batu hampar. – KOSMO! ONLINE