KUALA LUMPUR – Bakal terlibat dalam program berbentuk dakwah, pelakon dan pengarah Sabri Yunus tidak mahu masyarakat menggelarkan dirinya sebagai ‘ustaz segera’.
Sabri atau nama sebenarnya, Mohd. Sabri Yunus, 63, berkata, tujuan asal terlibat dalam rancangan televisyen bertajuk Angeline Tanya, Abang Jawab itu hanyalah untuk membantu isterinya yang juga pelakon Ardini Angeline Tan Yoke Yeah untuk memahami agama Islam.
Katanya, sebagai suami dia perlu bersedia untuk menjawab persoalan tentang amalan dalam Islam daripada isterinya yang merupakan seorang mualaf.
“Saya sebenarnya tidak bersedia untuk menjawab persoalan daripada orang lain. Bagi saya sudah menjadi tugas suami untuk mendidik isteri. Jadi saya perlu bersedia dengan sebarang jawapan sekiranya isteri saya bertanya.
“Saya tidak mahu mengambil risiko menjawab persoalan tentang agama sebab nanti orang akan kata saya hendak jadi ustaz selepas baru buat satu program dakwah.
“Selepas program ini disiarkan nanti, kalau ada orang yang bertanya kepada saya tentang Islam, saya nasihatkan lebih baik bertanya terus kepada pihak yang layak,” katanya.
Sabri yang ditemui pada program itu semalam turut memberitahu, sebelum isterinya bergelar mualaf, dia tidak pernah bercakap tentang Islam kerana bimbang perkara itu akan menyentuh sensitiviti.
“Sepanjang berkawan dengan dia sejak berpuluh tahun lalu, saya sentiasa menjaga tutur bicara dan adab walaupun saya sebenarnya seorang yang suka bergurau kasar dan bermulut celupar.
“Selepas kami berkahwin, barulah saya berani untuk berkongsi tentang Islam dan bercerita mengenai Islam. Dia memang ada banyak persoalan tentang Islam, jadi saya sebagai suami perlu bersedia untuk menjawab setiap persoalan itu.
“Saya sanggup berjaga malam semata-mata untuk mencari jawapan. Sekiranya sukar, saya minta dia bersabar dan menangguh jawapan pada keesokan hari. Walau apa pun saya perlu bersedia menjawab pertanyaannya kerana bimbang nanti dia akan mengatakan saya juga sama (mualaf) seperti dia,” kata Sabri.
Program Angeline Tanya, Abang Jawab menampilkan Sabri bersama Angeline saling berinteraksi melalui soalan berkaitan isu agama, kehidupan dan sosial.
Program tersebut dijadualkan mula bersiaran pada 18 September, setiap Rabu, pukul 8.30 malam di TV AlHijrah. – KOSMO! ONLINE