fbpx

Isu sijil halal: Teresa Kok beri keterangan, kerjasama penuh pada PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syahredzan (kiri), Teresa (tengah) dan Ramkarpal ketika sidang akhbar sekitar Bukit Aman hari ini. - Foto M. FIRDAUS M. JOHARI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, berhubung kenyataan pensijilan halal dikatakan membebankan peniaga di Malaysia.

Beliau yang ditemani peguamnya, Syahredzan Johan dan Ramkarpal Singh dilihat keluar dari pekarangan Bukit Aman kira-kira pukul 11.55 pagi.

Menurut Teresa, kenyataan yang dibuat pada 6 September lalu adalah respon kepada cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkenaan pensijilan halal mandatori di kedai-kedai makan bukan Islam.

“Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah membantah sijil halal sebaliknya turut mempromosi pensijilan halal Malaysia sejak 2008 bila memegang jawatan Exco Perdagangan, Industri dan Pelaburan di Selangor sehingga hari ini.

“Saya kerap memaklumkan kepada pelabur bahawa pensijilan halal di Malaysia mempunyai standard yang tinggi sekiranya mereka mahu mengimport apa-apa produk ke negara Islam maka mereka boleh dapatkannya melalui negara ini.

“Saya ada tanggungjawab menyuarakan masalah dan suara hati pelbagai kaum sebab itu saya minta kerajaan kaji semula cadangan terbabit,” katanya ketika sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut proses rakaman hari ini, Syahredzan berkata, Teresa memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis berkaitan isu ini.

“Setakat ini, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b)Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Rakaman keterangan berjalan selama sejam 30 minit dan lebih 20 soalan ditanyakan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ramkarpal berharap pihak polis akan mengambil tindakan serta siasatan penuh dengan merakam keterangan pihak lain yang mungkin terlibat bagi melengkapkan siasatan secara keseluruhan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI