KEJAYAAN menjulang trofi Pestabola Merdeka mampu dijadikan sebagai ‘azimat’ buat skuad Harimau Malaya tampil lebih cemerlang di pentas antarabangsa terutama kempen kelayakan Piala Asia 2027 akan datang.
Ketua jurulatih skuad negara, Pau Marti berkata, pasukannya tidak boleh terlalu selesa dengan situasi semasa dan masih memerlukan perlawanan ‘gred A’ bagi meningkatkan prestasi terutama menentang negara di Asia Barat.
Menurut Pau Marti, mentaliti serta semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh pemain sama ada diletakkan dalam kesebelasan utama atau barisan simpanan turut memberikan kelebihan buat pasukan.
“Secara peribadi, saya rasa ini keputusan yang agak bagus. Kita dapat menentang pasukan berkualiti seperti Lebanon sebagai persiapan sebelum kelayakan Piala Asia.
“Kita mahu lihat sejauh mana boleh pergi menerusi perlawanan ini dan kita berjaya raih kemenangan. Namun, saya tidak mahu pemain mendabik dada dengan memandang rendah lawan pada aksi akan datang,” katanya selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, Pau Marti percaya pasukan layak untuk menang selain mengakui taktikal merombak kesebelasan utama dengan membuat enam pertukaran membuahkan hasil.
“Keputusan saya ini menjadi bukti bahawa semua 26 pemain memiliki peluang seimbang untuk diturunkan di atas padang. Ia juga mesej agar semua pemain untuk terus bekerja keras (pada sesi latihan).
“Mengenai perlawanan, kita bermula dengan positif pada babak pertama berdepan Lebanon yang bertahan dengan baik dan ada kelebihan fizikal.
“Cuma, aksi pada babak kedua tidak begitu baik apabila gagal menyudahkan banyak peluang yang tercipta. Secara keseluruhan saya rasa kita layak untuk menang kali ini,” katanya.
Kali terakhir skuad negara menang Pestabola Merdeka adalah pada edisi 2013 dengan menewaskan Myanmar di pentas final.