fbpx

Golongan haram… yang sukakan kanak-kanak wajar dibendung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sam Bunkface memilih untuk tidak terlalu berkongsi gambar anaknya agar tidak menjadi mangsa golongan pedofilia.

KUALA LUMPUR – Enggan berkongsi wajah anak dalam media sosial, penyanyi Sam Bunkface menjaga privasi sebagai langkah berjaga-jaga daripada terdedah dengan gejala tidak bermoral membabitkan pemangsa kanak-kanak.

Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd Baharom, 37, berkata, dia sengaja memilih berbuat demikian selain sentiasa merujuk kepada ajaran Islam yang mendidik umatnya untuk mencegah sebelum berlaku sebarang masalah.

“Bagi saya, golongan ‘haram jadah’ yang menyukai kanak-kanak wajar dibendung bermula daripada kita sendiri dan dalam Islam pun, kita diajar untuk mencegah.

“Jadi ada benda yang perlu dan tak perlu dilakukan contohnya, muat naik sesuatu hantaran tidak sepatutnya dalam media sosial terutama membabitkan anak kecil.

“Sebab itu, kita kena mencari ilmu dan terus belajar bagi mengelakkan sebarang risiko termasuk menggunakan media sosial secara bertapis,” katanya kepada Kosmo! Online.

Sam berkata demikian bagi mengulas sikap segelintir ibu bapa yang seolah-olah membiarkan anak mereka menjadi tumpuan ramai di platform maya dan tanpa sedar diintai pedofilia.

Begitupun, bapa kepada dua cahaya mata itu mengakui hal perkongsian dalam media sosial terpulang kepada pendapat masing-masing biarpun secara peribadi dia sangat menjaga privasi anak-anaknya.

Bunkface yang dianggotai Sam selaku vokalis, Youk (bass), Pa’an (gitar utama) dan (Biak) bakal mengadakan konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) September depan. – ILHAM ZAKARIA

“Ketenangan daripada terdedah kepada sebarang risiko menjamin kebahagiaan dalam kehidupan. Mudah sahaja. Saya juga tak boleh menghakimi orang lain punya cara.

“Saya memang bukan macam orang lain. Saya lebih banyak menjaga privasi kehidupan saya dan keluarga. Itu yang membuatkan saya rasa lebih bahagia.

“Apabila kita jaga privasi, tiada orang peduli atau bertanya atau membuka aib kita. Semakin meningkat usia, kita semakin faham dan peka keselamatan anak lebih utama,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Bunkface di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), semalam.

Mengenai konsert yang akan berlangsung pada 28 September ini, Bunkface yang sebelum ini pernah berada di pentas sama pada 2014 bakal mempersembahkan hampir 20 lagu popular mereka.

“10 tahun lalu kami pernah berada di DFP membawakan lima lagu dan kali ini pihak sama mengundang Bunkface sekali lagi untuk beraksi dalam sebuah konsert penuh.

“Apabila pengurusan gelanggang gah ini mempelawa kami pada awal tahun ini, sudah tentu kami teruja kerana dapat berkumpul sekali lagi di sini.

“Aura sebuah dewan yang menjadi pentas banyak persembahan hebat penggiat seni dari dalam dan luar negara tentu berbeza bahkan kemunculan kali ini pastinya berlainan berbanding sedekad lalu,” ujarnya.

Selain Sam selaku vokalis, Bunkface yang mengukuhkan nama di arena seni sejak 15 tahun lalu turut dibarisu Youk (bass), Pa’an (gitar utama) dan (Biak). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI