LONDON – Bekas pemain Aston Villa, Gabby Agbonlahor menyelar tindakan Chelsea yang membuat keputusan untuk mengeluarkan Cole Palmer daripada senarai pemain yang beraksi di Liga Konferens Europa.
Chelsea bakal beraksi dalam saingan kelas ketiga Eropah itu selepas menamatkan saingan di kedudukan keenam saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu dan Agbonlahor menganggap keputusan kelab itu sebagai tidak menghormati saingan berkenaan.
The Blues mengesahkan tempat dalam saingan peringkat kumpulan kejohanan tersebut selepas berjaya menewaskan wakil Switzerland, Servette bulan lalu menerusi kemenangan 3-2 secara agregat.
Palmer menikmati prestasi cemerlang pada aksi debut bersama Chelsea musim lalu selepas meledak 22 gol dan 11 umpanan gol sekali gus membolehnya menerima Anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan PFA.
“Saya fikir tindakan itu tidak betul, ia seolah-olah tidak menghormati kejohanan tersebut kerana ia bukanlah Liga Europa ataupun Liga Juara-Juara.
“Mereka melihat Liga Konferens Europa sebagai saingan tidak berprestij, ia seolah-olah ‘kami Chelsea dan kami sepatutnya tidak bermain di kejohanan ini’ jadi ini peluang kami merehatkan pemain utama,” katanya.
Tambahnya, tindakan Chelsea ‘menyimpan’ beberapa pemain bintang untuk saingan tersebut juga bakal memberikan motivasi yang luar biasa kepada pasukan lawan yang akan mereka hadapi dan mungkin memberikan mereka kesukaran. – AGENSI