KUALA LUMPUR – Pelakon Elfira Loy sanggup mengeluarkan belanja ‘lebih’ untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah yang dipercayainya bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
Elfira atau nama penuhnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 30, berkata, cerita tentang kes penderaan melibatkan kanak-kanak di pusat asuhan dan taska antara sebab dia memilih untuk menghantar anak ke sekolah yang diyakini sahaja.
“Kisah-kisah ini menjadikan saya takut dan sanggup berbelanja lebih untuk hantar anak-anak ke sekolah yang dipercayai.
“Buat masa ini saya hanya rasa takut, berjaga-jaga dan mampu berdoa untuk mereka.
“Semua cerita (kes dera) merupakan peringatan untuk saya agar sentiasa bersiap sedia untuk apa sahaja kemungkinan termasuk aktiviti dilakukan oleh anak-anak yang terdedah dengan banyak perkara di luar,” katanya kepada Kosmo! Online selepas majlis pelancaran produk terbaharu Wardah di sini, semalam.
Dalam pada itu, dia juga menjaga dua anaknya iaitu Muhammad Rayyan Khalaf dan Nur Aria Mikayla sepenuh masa tanpa mendapatkan khidmat pembantu rumah.
Bukan tidak percaya, dia sebaliknya lebih selesa menjaga dan menguruskan segala-galanya dengan bantuan suami, Faris Khairol.
“Bukanlah tidak percaya tetapi apabila saya ambil keputusan untuk memiliki anak, memang saya nak jaga sendiri dan suka menjadi seorang ibu.
“Menjadi seorang ibu adalah tanggungjawab dan ini juga adalah nikmat yang Allah SWT beri sebab dapat masa bersama anak-anak.
“Banyak kelebihan dapat jaga anak sendiri seperti mengajar mereka tentang ilmu agama dan perkara-perkara yang baik,” ujarnya.
Untuk rekod, Elfira mendirikan rumah tangga dengan Faris atau Muhammad Farsis Khairul Anuar pada 1 Januari 2019.
Pasangan itu turut dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Rayyan, 5, dan Aria yang baru berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE