PETALING JAYA – “Kadangkala hidup ini bukanlah tentang pelangi dan kebahagiaan semata. Kita akan lalui hari-hari di mana kita rasa lemah, kecewa, dan ‘down’ (murung).”
Itu antara perkongsian Public Health Malaysia (PHM) tentang ‘kejatuhan’, kekecewaan dan kesedihan dalam hidup sekali gus meraih perhatian ramai.
Namun PHM menegaskan, tidak menjadi satu kesalahan jika individu yang berdepan dengan situasi berkenaan untuk meluahkan perasaan dialami atau minta bantuan.
“Jangan takut untuk berehat, menangis, atau meminta bantuan. Hidup ini adalah tentang keseimbangan antara kesedihan dan kebahagiaan. Kedua-duanya membentuk siapa kita.
“Jika hari ini kita rasa seperti berada di titik paling rendah, ketahuilah bahawa esok mungkin lebih baik,” tulis PHM di Facebook.
PHM menegaskan bahawa, situasi berkenaan adalah sebahagian daripada lumrah yang mematangkan diri seseorang.
“Ingat, setiap kejatuhan dan kesedihan itu adalah sebahagian daripada perjalanan hidup yang akan menguatkan kita,” tambah PHM.
Hantaran berkenaan dikongsikan hampir 300 pengguna dalam masa dua jam ia disiarkan. – KOSMO! ONLINE