fbpx

[VIDEO] Jual kuih raya cari dana bertanding memanah berkuda di Perancis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video Abdurrahman dan Heba Nusaybah diumumkan juara dan naib juara European Kids Horseback Archery Championship 2024 di Gauchoux, Perancis pada Ogos lalu.

PETALING JAYA – Dua beradik yang menang pertandingan memanah berkuda European Kids Horseback Archery Championship 2024 bulan lalu, menyertai acara tersebut dengan tajaan sendiri maelalui hasil jualan kuih raya.

Menerusi video dimuat naik ibu dua beradik itu di TikTok Fathim Ridayu, dia dan dua anaknya, Abdurrahman Ahmad Mu’az serta Heba Nusaybah menggunakan simpanan sendiri termasuk sumbangan dari keluarga selain berusaha menjual kuih raya untuk ke Perancis.

“Ya tajaan sendiri, pergi bertiga sahaja dan sayalah ‘manager’ (pengurus), sayalah ‘coach’ (jurulatih) mereka. Datuk dan nenek sumbang sikit, jual kuih raya sikit untuk kumpul dana.

“Perancis kosnya amat-amatlah tinggi, jadi perlu berjimat cermat. Kenapa nak sangat-sangat ke kejohanan di Eropah ini walaupun mahal? Sebab juara-juara dunia dalam sukan memanah berkuda kebanyakannya dari Perancis dan nak belajar dalam masa sama,” katanya.

Fathim Ridayu memuat naik video terbaharu semalam, menjawab pertanyaan pengguna TikTok berhubung tajaan anak-anaknya dalam pertandingan tersebut.

Katanya, pasukan negara lain yang tiba di lapangan terbang di sana, turut disediakan kenderaan untuk menjemput mereka, namun dia serta Abdurrahman dan Heba Nusaybah menaiki pengangkutan awam kerana mahu berjimat.

“Dari lapangan terbang Paris ke bandar Limoges naik bas lima jam. Dari Limoges ke bandar Bellac naik kereta api lagi sejam.

“Angkutlah beg semua tiga beranak. Lokasi pertandingan jauh dari bandar Paris. Jaraknya macam Kuala Lumpur dengan Perlis. Makan pun bawa ‘ready-to-eat food’ dari Malaysia. Punya nak berjimat,” ujarnya.

Dia berkata, sekiranya makanan disediakan oleh pihak urusetia, mereka akan dikenakan bayaran €40 sehari untuk seorang bersamaan RM200.

“Alhamdulillah ‘ala kulli hal (atas segalanya). Pengalaman yang mahal tapi berbaloi,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan, dua beradik yang mewakili Malaysia bagi pertandingan memanah berkuda European Kids Horseback Archery Championship 2024 pada bulan lalu muncul juara dan naib juara menerusi kategori yang dipertandingkan.

Abdurrahman Ahmad Mu’az diumumkan juara bagi kategori bawah 14, manakala adiknya, Heba Nusaybah pula naib juara untuk kategori bawah 12 pada pertandingan yang berlangsung di Gauchoux, Perancis pada 21 hingga 23 Ogos lalu.

Menerusi video dimuat naik oleh Fathim Ridayu, hanya dua wakil dari Malaysia menyertai pertandingan memanah berkuda yang mana penyertaan Abdurrahman dan Heba Nusaybah merupakan tajaan sendiri.

Pertandingan itu disertai lebih 110 pesaing dari 16 negara antaranya Perancis, Belanda, Belgium, Indonesia, Brazil, Finland, Poland, England, Sepanyol, Jerman, Afrika Selatan, Switzerland, Turkiye, Amerika Syarikat dan Ireland.- KOSMO! ONLINE

@fathimridayu Replying to @Ady ♬ original sound – FathimRidayu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI