KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau memahami peranan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam mempertahankan hak asasi dan keadilan berdasarkan pengalaman peribadinya.
Menurut Perdana Menteri, beliau dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta ahli keluarganya berkunjung ke pejabat Suhakam ketika berada dalam kesusahan suatu ketika dahulu.
“Saya hadir hari ini untuk menyatakan penghargaan kepada Suhakam kerana saya, Wan Azizah dan keluarga terus ke pejabat Suhakam tatkala dalam kesusahan dulu.
“Saya faham peranan Suhakam berdasarkan pengalaman peribadi dan saya percaya ribuan yang lain juga berasakan perlu agensi seperti Suhakam kerana peranan dalam mempertahankan hak asasi dan keadilan bagi semua,” katanya pada Sambutan Jubli Perak Hari Suhakam Ke-25 di KL Sentral, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Pengerusi Suhakam, Datuk Seri Mohd. Hishamudin Yunus.
Menurut Anwar, beliau memahami terdapat beberapa masalah yang belum selesai berkaitan hak asasi antaranya soal kematian dalam tahanan polis.
Kata beliau, Ketua Polis Negara secara terbuka menyatakan untuk menjalankan siasatan dan kajian untuk mengelak perkara itu yang sebahagiannya adalah benar manakala sebahagian lagi adalah persepsi.
“Yang menyiasat itu polis, yang jatuhkan hukum hakim, jadi sebelum dijatuhkan hukum, jangan hukum terlebih dahulu. Saya bercakap dari segi pengalaman. Datuk Seri Mohd. Hishamudin antara yang pertahankan saya masa kena belasah dulu.
“Masa itu belum didakwa pun dah kena belasah sentengah mati. Jadi apabila ada orang bicarakan kebimbangan tentang penderaan atau kematian dalam lokap tidak perlu yakinkan saya kerana saya tahu apa kita rasakan.
“Rasanya seakan tidak berdaya apabila anda dibelasah hampir mati dalam lokap,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu menyokong usaha untuk melindungi mereka yang ditahan dalam lokap dan Menteri Dalam Negeri serta Ketua Polis Negara menyokong idea tersebut.
“Tumpuan kami adalah persepsi. Kita perlu prosedur yang betul dan ada beberapa langkah baharu telah dibuat walau sedikit kontroversi dan agak sukar,” katanya. – KOSMO! ONLINE