fbpx

Pengadil snuker tuntut MSBF disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ITHMAYUDIN menunjukkan dokumen sewaktu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Pengadil dan pemain menuntut agar Persekutuan Snuker dan Billiard Malaysia (MSBF) melakukan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dengan kadar segera untuk merawat ‘barah yang sukar diubati’ apabila dilaporkan terdapat salah guna kuasa dan pecah amanah dalam badan induk itu.

Pengadil snuker kebangsaan dan Asia, Ithmayudin Zulkifli mendakwa ramai pemain serta pengadil yang ditauliahkan di bawah MSBF telah dianiaya, malah ada yang digantung tanpa sebab serta tiada sebarang surat dikeluarkan secara rasmi.

Tegas Ithmayudin, dia telah membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Setiausaha Agung MSBF, Iskandar Perwira Putra berkenaan pecah amanah yang dilakukan pada tahun lalu.

“Apa yang berlaku kepada saya sebagai pengadil dan juga terhadap pengadil baharu langsung tiada protokol. MSBF tidak ada etika, malah turut membuat fitnah untuk menjatuhkan maruah saya. 

“Saya pada mulanya digantung hanya sekadar cakap mulut oleh setiausaha agung kerana dia tidak dapat duit secara penuh daripada saya kerana saya telah anjur satu kejohanan pada awal tahun 2023 di Kuala Lumpur. 

“Dari situ meleret kepada salah laku tanpa ada sebarang perjumpaan sehingga kini oleh MSBF. Jadi, saya tunggu surat hitam putih daripada persatuan dan akhirnya dikeluarkan setiausaha sendiri iaitu Iskandar mengatakan saya digantung selama dua tahun dan tidak boleh terlibat dalam sebarang kejohanan mahupun menjadi pengadil.

“Ini satu tindakan tidak beretika dibuat ke atas saya, malah juga kepada pemain-pemain terdahulu yang juga digantung tanpa sebarang hitam putih atau surat rasmi daripada MSBF. 

“Selain itu, setiausaha juga telah melakukan kutipan yuran kursus pengadilan tetapi duit tersebut masuk ke poket sendiri. Sebab itu, saya membuat laporan dan SPRM ambil maklum akan perkara ini,” katanya pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Ithmayudin turut berharap Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melakukan siasatan penuh terhadap MSBF serta melakukan ‘reset’ dan membuat pemilihan baharu agar badan induk tersebut lebih ke arah profesional.

“Kita juga berharap KBS dan PJS segera ambil tindakan serta buat juga EGM dengan kadar segera untuk melakukan pemilihan baharu. Saya juga difahamkan ahli gabungan MSBF ketika ini hanya tinggal empat, jadi PJS perlu lakukan sesuatu dan menyiasat akan perkara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN